Tuesday, November 12, 2013

Teks Juruacara Hari Anugerah Kecemerlangan 2013

Ketibaan Dif Terhormat

Mengumumkan ketibaan Yang Berbahagia
…………………………………………………………………..,
 Wakil Pegawai Pelajaran Daerah, Pejabat Pelajaran Daerah Marang.


Lagu Negaraku



Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku .
 Hadirin diminta berdiri.

………….Lagu Negaraku………..

Hadirin dipersilakan duduk.

Ucapan Pengacara

Bertongkat si buta di atas permatang
Berenang si kelah di hujung muara
Pemanis kata selamat datang,
Awal Bismillah pembuka bicara.

BismilLahir Rahmanir Rahim .
Assalamu `Alaikum W.B.T

Yang Berbahagia …………………………………………………………………………………………….

(………………………………………………………………………………………………….)

Yang Dihormati Tuan Haji Ismail b Mat Deris, Yang Dipertua PIBG SKBG.
Yang Berusaha Encik Ibrahim b Muhammad , Guru Besar SK Bukit Gasing
En Mohd Nidzam b.Muda, Guru Penolong Kanan 1,
 En. Abd Rahman b.Hj Yusof, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,                 
 Tuan Haji Murat bin Endut, Guru Penolong Kanan Ko Kurikulum,
Ajk
PIBG, para ibu bapa dan penjaga, guru-guru SKBG,anak-anak pelajar yang dikasihi seterusnya hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Selamat datang ke :
Majlis Hari Anugerah Kecemerlangan SKBG 2013.

Saya  Puan Amri binti Abd.Rahman dan saya Puan Sharifah Zuraidah bt Syed Ahmad, akan mendominasikan majlis hari ini .


Terlebih dahulu kami ingin mengucapkan syukur Alhamdulillah kerana dengan limpah dan kurniaNya maka kita dapat bersama-sama berhimpun pada pagi nan indah di Dewan Al Ghazali ini untuk meraikan kejayaan anak-anak kita dalam bidang pelajaran.

Ucapan selamat datang dan ribuan terima kasih diucapkan kepada semua hadirin sekalian kerana sudi menghadirkan diri ke majlis ini terutamanya kepada Yang Berusaha………………………………………………………………………………………………………………….. Ucapan terima kasih juga kepada semua ibu bapa dan penjaga yang sudi meluangkan masa untuk memberi sokongan kepada anak-anak dan pihak sekolah. Semoga usaha kita semua diberkati Allah.

Bacaan Al-Quran
Majlis kita adab diangkat,
Quran dijunjung jadi panduan,
Adik Mohd Syafiq b. Rosli sedia berangkat,
Kalam Allah bongkah perpaduan.

Dengan itu itu, majlis mempersilakan Mohd Syafiq b.Rosli dari kelas 6A menyampaikan bacaan Quran untuk tatapan dan renungan kita bersama .Dipersilakan.
TERIMA KASIH ADIK   Mohd Syafiq b Rosli  ATAS BACAAN QURAN ITU TADI


Bacaan Doa
Tetak buluh kajang sepuluh,
Mari jolok sarang penyengat;
Angkat tangan jemari sepuluh,
Doa di pohon biar selamat.
Hadirin yang dimuliakan,
Bagi memuliakan majlis, marilah sama-sama kita menadah tangan bermunajat, memohon berkat agar segala urusan mendapat rahmat dengan mengaminkan bacaan doa.  

Doa dibaca amin disebut,
Keberkatan majlis sentiasa diharapkan,
Al Fadhil Ustaz Abd. Rashid kami menjemput,
Sudilah tuan tampil ke hadapan.

*********selepas bacaan doa*************
Amin Amin Ya Rabbal `Alamin
Syukran Jazilan Ya Ustaz Abd Rashid b Mustaffar,
atas bacaan doa itu tadi)


Ucapan Guru Besar
Hadirin yang dihormati,
Tak molek, jika alu tiada lesungnya
Tak berguna, jika dayung tiada perahunya
Tak lengkaplah Majlis, jika tiada yang berbicara

Majlis membuka tirai ucapan dengan menjemput yang Berusaha En.Ibrahim b. Mohammad Guru Besar SK Bukit Gasing untuk menyampaikan ucapannya. Dipersilakan.

************(Ucapan GB.)

Ucapan terima kasih kepada Yang Berusaha En.Ibrahim b Mohammad  Guru Besar SK Bukit Gasing atas ucapan tadi.

Ucapan YDP PIBG


Kini, majlis mempersilakan pula Yang Dihormati Tuan Haji Ismail B. Mat Deris  YDP PIBG untuk menyampaikan ucapan . Majlis dengan segala hormatnya mempersilakan.
************(Ucapan YDP.)

Majlis mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Dihormati, Tuan Haji Ismail B. Mat Deris selaku Yang Dipertua Persatuan Ibu bapa Dan Guru Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing atas ucapan tersebut.



Ucapan Perasmian
Para hadirin yang dihormati sekalian,

Yang awal kita dahulukan,
Yang dahulu kita alu-alukan,
Ucapan perasmian kita nantikan,
Pelengkap majlis yang kita adakan.

Majlis seterusnya mempersilakan Yang Berbahagia …………………………………………………………. untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar bagi seisi 2013. Majlis dengan segala hormatnya dipersilakan.

***********(Ucapan PPD)

Majlis merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Yang Berbahagia……………………………………………………………………atas ucapan dan perasmian majlis ini tadi.

Penyampaian Hadiah

Hadirin yang dihormati,
Yang berjaya kita raikan,
Hadiah diberi sebagai penghargaan.
Semoga kejayaan terus berkekalan.
Menyutik semangat maju kehadapan

Seterusnya tibalah masa yang ditunggu-tunggu, penyampaian hadiah kepada murid-murid cemerlang

Terlebih dahulu, majlis menjemput  Tuan Haji Murat bin Endut, Guru Penolong Kanan Ko Kurikulum, ke atas pentas untuk menyempurnakan acara.
Majlis dimulakan dengan ketegori,
-          Kedatangan penuh
-          Dipersilakan …….(rujuk lampiran)

Majlis mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tuan Haji Murat bin Endut, Guru Penolong Kanan Ko Kurikulum,kerana sudi menyampaikan hadiah.


Konvokesyen Pra Skolah
Meneruskan majlis, murid-murid pra sekolah sesi 2013 akan tampil ke atas pentas untuk menerima sijil dan cederahati. Untuk menyempurnakan majlis, dijemput Tuan Haji Ismail b Mat Deris, Yang Dipertua PIBG SKBG.
tampil ke pentas.

Murid-murid pra sekolah yang telah berjaya menamatkan pengajian peringkat awal persekolahan seramai………………………

********(Lampiran) (2)***********(Mini Konvokesyen)


Terima kasih diucapkan kepada Tuan Haji Ismail b Mat Deris, Yang Dipertua PIBG SKBG.atas penyampaian sijil itu tadi.



Penyampaian Anugerah Khas


Warga dewan sekalian,
Kinii  tibalah kemuncak Anugerah yang dinantikan-nantikan
Hadiah Anugerah Tokoh Murid 2013

Dijemput Mohd Syafiq b Rosli tampil ke pentas
----Biodata (L)

Dijemput Nurul Hazirah Bt Mohs Saidi ke pentas
----Biodata (P)

Bagi menyerikan acara penyampaian anugerah khas ini, pihak majlis pada hari  ini berbesar hati mempersilakan …………………………………………………………………………………………. tampil ke pentas bagi menyempurnakan majlis ini. Dengan segala hormatnya dipersilakan.
Bagi Tokoh MuridLelaki.
Bagi Tokoh Murid Perempuan
Dijemput Nurul Hazirah Bt Mohs Saidi bersama  ibu bapa untuk menerima sijil dan cenderahati

Majlis merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada ……………………………………………………………………….. kerana menyempurnakan acara penyampaian anugerah itu tadi

Anugerah Khas
Seterusnya penyampaian Anugerah Khas kepada seorang warga SKBG yang banyak menabur bakti dalam dunia pendidikan.
___Baca Biodata____( Kak Am)
Amin amin..amin..
Majlis menjemput En. Dani b. Abu Bakar wakil ahli keluarga allahyarhamah untuk menerima anugerah yang akan disampaikan oleh Tuan Hj Ibrahim b. Mohammad .Majlis dengan hormatnya mempersilakan
…….sampaikan hadiah…


Penutup
Hadirin sekalian,  kita telah pun berada di penghujung acara

Gugur menguning buah kuini,
Menghijau pohon subur dibaja,
Majlis kita berakhir di sini,
Salah dan silap lupakan saja.

         Sebarang kelemahan harap dimaafi
Segala kerjasama sangat dihargai
Terima kasih sekalung budi
Kenangan nan indah simpanlah di hati.

Semoga di tahun hadapan kita berjumpa lagi.

Kami  bagi pihak ahli jawatankuasa Hari Anugerah Cemerlang kali ke… merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan kerjasama dalam menjayakan majlis pada hari ini.


Sekian, wabillahitaufik, walhidayah. Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh 




ANUGERAH JASAMU DIKENANG, BUDIMU DISANJUNG


ANUGERAH JASAMU DIKENANG, BUDIMU DISANJUNG
            Anugerah Jasamu Dikenang,Budimu Disanjung ini dilahirkan pada 10 Februari 1970. Anak jati Kampung Seberang Marang ini merupakan anak kepada pasangan Encik Abu Bakar b Omar dan Puan Dayang bt Daboh.
            Beliau memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Seberang Marang sehingga ke darjah enam.Pada tahun 1983, beliau meneruskan alam persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara hingga ke tingkatan lima. Menyedari betapa perlunya memiliki tahap pendidikan yang tinggi,beliau menyambung pengajian tingkatan enam di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman bermula pada tahun 1987 hingga ke tahun 1989.
            Selaku anak ketiga daripada dua belas orang adik beradik , beliau turut bertanggungjawab membantu mengurangkan bebanan kedua-dua ibu bapanya.Lantaran itu, beliau telah bekerja sebagai kerani sementara di kilang Hasu selama dua tahun.
            ‘Umpama  orang mengantuk disorongkan bantal,’itulah peribahasa tepat untuk menggambarkan perasaan  beliau tatkala menerima surat tawaran untuk menjadi seorang guru.Nampaknya, impian untuk bergelar seorang pendidik semakin hampir tercapai.Pengalaman pahit manis semasa menuntut di Maktab Perguruan Jitra, Kedah telah banyak mematangkan dirinya dalam menempuh segenap cabaran hidup.
            Khidmat baktinya sebagai pendidik bermula di Sekolah Kebangsaan Merchang pada tahun 1993.Setelah enam tahun bertugas di sana, beliau ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Batangan dan diberi kepercayaan untuk memangku jawatan guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.Seterusnya, pada tahun 2003, beliau sekali lagi ditukarkan untuk berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing.
            Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memegang pelbagai jawatan penting seperti menjadi setiausaha peperiksaan sekolah dan penyelaras e-pantau. Beliau juga turut aktif dalam kumpulan AKRAM yang bertanggungjawab menggubal soalan peperiksaan khususnya soalan peperiksaan Bahasa Melayu.Daya usahanya yang tidak mengenal erti jemu telah melahirkan ramai pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR.Jasanya dalam mengharumkan nama sekolah terserlah apabila pada tahun 2004 sekolah ini berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan kuiz kesihatan peringkat negeri dan seterusnya layak mewakili negeri Terengganu ke peringkat kebangsaan.Semua kejayaan ini tidak akan terhasil tanpa titisan keringat yang beliau curahkan . Lantas pada tahun berikutnya, pihak Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing telah menganugerahkan beliau untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.
            Sepanjang mengenalinya, beliau merupakan seorang pendidik yang amat berdedikasi. Personalitinya yang peramah, pemurah dan ringan tulang amat disenangi oleh murid-murid dan rakan pendidik. Masih terbayang di ruang mata akan lawak jenaka dan senyuman yang sentiasa terukir di bibir.
            Setelah dua puluh tahun menabur bakti sebagai seorang pendidik, pada malam Jumaat 4 Oktober 2013 yang lalu, beliau telah menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 43 tahun. Bertemu dan mengenalinya merupakan antara saat-saat indah dalam hidup kami di sini. Terlalu banyak memori indah bersama beliau  yang tidak dapat digambarkan dengan barisan kata-kata.Sesungguhnya walau beribu insan guru yang datang mengganti pasti tidak akan sama dengan Cikgu Hazimah bt Abu Bakar  yang telah pergi. Marilah kita mendoakan semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang solehah.
            Bagi mengenang segala jasa dan pengorbanannya pihak Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing ingin menyampaikan cenderamata’ Jasamu Dikenang, Budimu Disanjung,’ buat keluarga Allahyarhamah Cikgu Hazimah bt Abu Bakar. Al-Fatihah………           


TOKOH MURID LELAKI 2013


TOKOH MURID LELAKI 2013

            Tika fajar menyingsing pada tanggal 31 Mei 2001, terpahatlah satu sejarah buat pasangan sejoli, Encik Rosli b Abdul Ghani dan Puan Zabidah bt  Abas.Kelahiran kali ini dinanti dengan penuh debaran bagi melengkapkan impian mempunyai putera idaman.

            Sejurus saat kelahirannya, putera ini dibelai dan dititip dengan penuh kasih sayang. Benarlah kata pujangga, ‘ benih yang baik,jatuh ke laut menjadi sebuah pulau, jatuh ke tanah menjadi pohon nan rendang’. Ini terbukti seawal usia lima tahun, putera ini telah fasih membaca, menulis dan mengira. Manakala menjangkau usia tujuh tahun pula beliau pun telah khatam Al-Quran.

            Semenjak di awal persekolahan, beliau begitu menyerlah dengan pelbagai potensi diri. Ketinggian kecerdasan yang dimilikinya sukar digugat oleh rakan sealiran. Pantang disoal pasti jawapannya adalah tepat. Kebijaksanaan dan kecekalan dalam menongkah arus cabaran menjadi sumber kejayaannya.Setiap kali menduduki peperiksaan, keputusan cemerlang ‘5A’ pasti dalam genggaman. Tidak hairanlah beliau pernah meraih gelaran Murid Harapan pada tahun 2012

            Anak ketiga daripada lima beradik ini, menyimpan impian untuk menjejaki profesion kedua-dua ibu bapanya iaitu menjadi seorang pendidik yang berwibawa suatu masa nanti. Demi merealisasikan  hasrat tersebut, setiap ruang waktu senggangnya sering diisi dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku dan melayari internet sejajar dengan perkembangan era globalisasi.


            Mempunyai bakat kepimpinan yang istimewa, telah melayakkan putera ini menggalas pelbagai jawatan penting iaitu sebagai ketua murid pada tahun ini. Ketokohannya amat membanggakan rakan-rakan dan barisan guru.Penglibatannya dalam bidang kokurikulum juga tidak kurang hebatnya. Beliau turut diberi kepercayaan untuk menerajui Persatuan Pengakap dan Kelab Doktor Muda sekolah.Putera ini juga telah mengharumkan nama sekolah dalam pertandingan hafazan Al-Quran dan Kuiz Doktor Muda.

            Semoga keperibadian dan penampilan diri yang positif ini akan diteruskan pada  saat kaki melangkah ke alam persekolahan menengah nanti.

Terlerai sudah biodata diri
            Serlah kehebatan persada akademik
            Anugerah cemerlang motivasi diri
            Demi masa depan penuh dinamik

            Maka dengan ini pihak Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing sebulat suara menobatkan Muhammad Syafiq b Rosli sebagai Tokoh Murid Lelaki pada tahun ini. Tahniah kami ucapkan.

           





BIODATA TOKOH MURID PEREMPUAN 2013


BIODATA TOKOH MURID PEREMPUAN 2013

                Tanggal bersejarah 13 Jun 2001, maka lahirlah seorang puteri kebanggaan bapa, puteri dambaan bonda  buat pasangan bahagia Encik Ahmad Saidi b Mohd Nawi dan isteri tercinta Puan Salwati bt  Mamat.Kelahirannya disambut dengan senyuman penuh kesyukuran.
                                                                                                                                               
            Puteri ketiga daripada lima orang adik beradik ini dibesarkan dengan limpahan kasih sayang dan perhatian. Saban waktu gadis kecil ini diasuh dan dididik dengan penuh sempurna, bagai menatang minyak yang penuh.
            Cantik sungguh cincin suasa
            Dipakai oleh pahlawan perkasa
            Bersopan santun berbudi  bahasa
            Hiasan diri sepanjang  masa

            Tatkala menjejakkan kaki ke alam persekolahan, puteri ini telah memperlihatkan kepelbagaian kebolehan dan keistimewaan. Kejayaan akademiknya sentiasa konsisten sejak tahun pertama lagi. Waktu luangnya pula sering diisi dengan membaca pelbagai bahan ilmiah demi  meningkatkan  prestasi diri.Selain dorongan daripada kedua-dua ibu bapa dan tunjuk ajar para guru, sikap sabar dan pantang menyerah kalah  menjadi kunci kejayaan  dalam setiap peperiksaan yang ditempuhinya.



            Daya kepimpinannya turut terserlah apabila pelbagai jawatan penting telah diamanahkan kepadanya.Sejak di tahun  tiga, beliau telah terpilih sebagai pengawas sekolah. Selain itu, jawatan pengerusi Persatuan Puteri Islam dan AJK Kelab Doktor Muda tergalas di bahunya. Beliau turut mewakili daerah Marang dalam pertandingan Kuiz Doktor Muda  yang berlangsung di daerah  Setiu pada bulan Ogos yang lalu.Selain itu, puteri ini juga terlibat aktif dalam lapangan sukan terutamanya dalam permainan bola jaring dan badminton.

Berlandaskan kecemerlangan yang telah ditonjolkan  serta dipersetujui oleh semua panel juri pemilihan, maka Tokoh Murid  perempuan tahun 2013 disandang oleh  Nurul Hazirah bt Ahmad Saidi.

Diharapkan kedua-dua orang tokoh murid ini akan menjadi role model kepada murid-murid yang lain. Isyaallah.