Tuesday, November 12, 2013

ANUGERAH JASAMU DIKENANG, BUDIMU DISANJUNG


ANUGERAH JASAMU DIKENANG, BUDIMU DISANJUNG
            Anugerah Jasamu Dikenang,Budimu Disanjung ini dilahirkan pada 10 Februari 1970. Anak jati Kampung Seberang Marang ini merupakan anak kepada pasangan Encik Abu Bakar b Omar dan Puan Dayang bt Daboh.
            Beliau memulakan pendidikan awalnya di Sekolah Rendah Kebangsaan Seberang Marang sehingga ke darjah enam.Pada tahun 1983, beliau meneruskan alam persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Lela Segara hingga ke tingkatan lima. Menyedari betapa perlunya memiliki tahap pendidikan yang tinggi,beliau menyambung pengajian tingkatan enam di Sekolah Menengah Sultan Sulaiman bermula pada tahun 1987 hingga ke tahun 1989.
            Selaku anak ketiga daripada dua belas orang adik beradik , beliau turut bertanggungjawab membantu mengurangkan bebanan kedua-dua ibu bapanya.Lantaran itu, beliau telah bekerja sebagai kerani sementara di kilang Hasu selama dua tahun.
            ‘Umpama  orang mengantuk disorongkan bantal,’itulah peribahasa tepat untuk menggambarkan perasaan  beliau tatkala menerima surat tawaran untuk menjadi seorang guru.Nampaknya, impian untuk bergelar seorang pendidik semakin hampir tercapai.Pengalaman pahit manis semasa menuntut di Maktab Perguruan Jitra, Kedah telah banyak mematangkan dirinya dalam menempuh segenap cabaran hidup.
            Khidmat baktinya sebagai pendidik bermula di Sekolah Kebangsaan Merchang pada tahun 1993.Setelah enam tahun bertugas di sana, beliau ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Batangan dan diberi kepercayaan untuk memangku jawatan guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.Seterusnya, pada tahun 2003, beliau sekali lagi ditukarkan untuk berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing.
            Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memegang pelbagai jawatan penting seperti menjadi setiausaha peperiksaan sekolah dan penyelaras e-pantau. Beliau juga turut aktif dalam kumpulan AKRAM yang bertanggungjawab menggubal soalan peperiksaan khususnya soalan peperiksaan Bahasa Melayu.Daya usahanya yang tidak mengenal erti jemu telah melahirkan ramai pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR.Jasanya dalam mengharumkan nama sekolah terserlah apabila pada tahun 2004 sekolah ini berjaya merangkul tempat pertama dalam pertandingan kuiz kesihatan peringkat negeri dan seterusnya layak mewakili negeri Terengganu ke peringkat kebangsaan.Semua kejayaan ini tidak akan terhasil tanpa titisan keringat yang beliau curahkan . Lantas pada tahun berikutnya, pihak Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing telah menganugerahkan beliau untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.
            Sepanjang mengenalinya, beliau merupakan seorang pendidik yang amat berdedikasi. Personalitinya yang peramah, pemurah dan ringan tulang amat disenangi oleh murid-murid dan rakan pendidik. Masih terbayang di ruang mata akan lawak jenaka dan senyuman yang sentiasa terukir di bibir.
            Setelah dua puluh tahun menabur bakti sebagai seorang pendidik, pada malam Jumaat 4 Oktober 2013 yang lalu, beliau telah menghembuskan nafas terakhir ketika berusia 43 tahun. Bertemu dan mengenalinya merupakan antara saat-saat indah dalam hidup kami di sini. Terlalu banyak memori indah bersama beliau  yang tidak dapat digambarkan dengan barisan kata-kata.Sesungguhnya walau beribu insan guru yang datang mengganti pasti tidak akan sama dengan Cikgu Hazimah bt Abu Bakar  yang telah pergi. Marilah kita mendoakan semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang yang solehah.
            Bagi mengenang segala jasa dan pengorbanannya pihak Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing ingin menyampaikan cenderamata’ Jasamu Dikenang, Budimu Disanjung,’ buat keluarga Allahyarhamah Cikgu Hazimah bt Abu Bakar. Al-Fatihah………           


No comments:

Post a Comment