Tuesday, November 12, 2013

TOKOH MURID LELAKI 2013


TOKOH MURID LELAKI 2013

            Tika fajar menyingsing pada tanggal 31 Mei 2001, terpahatlah satu sejarah buat pasangan sejoli, Encik Rosli b Abdul Ghani dan Puan Zabidah bt  Abas.Kelahiran kali ini dinanti dengan penuh debaran bagi melengkapkan impian mempunyai putera idaman.

            Sejurus saat kelahirannya, putera ini dibelai dan dititip dengan penuh kasih sayang. Benarlah kata pujangga, ‘ benih yang baik,jatuh ke laut menjadi sebuah pulau, jatuh ke tanah menjadi pohon nan rendang’. Ini terbukti seawal usia lima tahun, putera ini telah fasih membaca, menulis dan mengira. Manakala menjangkau usia tujuh tahun pula beliau pun telah khatam Al-Quran.

            Semenjak di awal persekolahan, beliau begitu menyerlah dengan pelbagai potensi diri. Ketinggian kecerdasan yang dimilikinya sukar digugat oleh rakan sealiran. Pantang disoal pasti jawapannya adalah tepat. Kebijaksanaan dan kecekalan dalam menongkah arus cabaran menjadi sumber kejayaannya.Setiap kali menduduki peperiksaan, keputusan cemerlang ‘5A’ pasti dalam genggaman. Tidak hairanlah beliau pernah meraih gelaran Murid Harapan pada tahun 2012

            Anak ketiga daripada lima beradik ini, menyimpan impian untuk menjejaki profesion kedua-dua ibu bapanya iaitu menjadi seorang pendidik yang berwibawa suatu masa nanti. Demi merealisasikan  hasrat tersebut, setiap ruang waktu senggangnya sering diisi dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah seperti membaca buku dan melayari internet sejajar dengan perkembangan era globalisasi.


            Mempunyai bakat kepimpinan yang istimewa, telah melayakkan putera ini menggalas pelbagai jawatan penting iaitu sebagai ketua murid pada tahun ini. Ketokohannya amat membanggakan rakan-rakan dan barisan guru.Penglibatannya dalam bidang kokurikulum juga tidak kurang hebatnya. Beliau turut diberi kepercayaan untuk menerajui Persatuan Pengakap dan Kelab Doktor Muda sekolah.Putera ini juga telah mengharumkan nama sekolah dalam pertandingan hafazan Al-Quran dan Kuiz Doktor Muda.

            Semoga keperibadian dan penampilan diri yang positif ini akan diteruskan pada  saat kaki melangkah ke alam persekolahan menengah nanti.

Terlerai sudah biodata diri
            Serlah kehebatan persada akademik
            Anugerah cemerlang motivasi diri
            Demi masa depan penuh dinamik

            Maka dengan ini pihak Sekolah Kebangsaan Bukit Gasing sebulat suara menobatkan Muhammad Syafiq b Rosli sebagai Tokoh Murid Lelaki pada tahun ini. Tahniah kami ucapkan.

           





No comments:

Post a Comment